DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 kepada 100 peratus.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha menjaga kepentingan mahasiswa.
“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi… banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya.
Beliau mengumumkan demikian ketika merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri meminta mahasiswa terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.
Beliau turut menyeru mahasiswa Keluarga Malaysia agar memberi komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatakan kecintaan kepada negara.
“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.
“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Rusia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik yang mana perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat. – Malaysiapost

