DESAS desus kemungkinan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali lagi diperkatakan.
Timbalan Ketua Umno Alor Setar, Zambri Mat dalam hantaran di Facebook mendedahkan isu pencalonan Khairy turut dibincang dalam mesyuarat bersama Umno peringkat cawangan, baru-baru ini.
Katanya, perbincangan secara ‘berdua’ pada mulanya bersama Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, bertukar dengan pemakluman kepada Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah agar bersedia kerana Menteri Kesihatan bakal bertanding di Alor Setar.
“Hampa (anda) kena bersedia dan kerja lebih lagi sebab menteri hampa nak mai bertanding di Parlimen Alor Setar,” kata Mohd Yusof dalam mesyuarat itu.
Dalam hantaran itu juga, Zambri bertanya kepada penduduk Alor Setar sama ada mahu mengundi Mohd Yusof atau Khairy yang mewakili Barisan Nasional (BN) atau kekalkan Ahli Parlimen PKR, Chan Ming Kai.
“Orang Alor Setar apa macam boleh undi BN ke kalau Datuk Yusof atau KJ bertanding PRU15 nanti atau masih nak kekalkan kerusi kepada PKR YB Chan Ming Kai yang sentiasa bersongkok macam Lee Kuan Yew mantan Perdana Menteri Singapura tidak mendapat hidayah,” katanya.
Baru-baru ini, Mohd Yusof mengulangi pendirian agar BN meletakkan calon daripada Umno berbanding MCA bagi kerusi Parlimen Alor Setar dalam PRU15.
Ia berikutan komposisi pengundi di Parlimen berkenaan yang memiliki lebih 65 peratus pengundi Melayu dan hanya 23 peratus pengundi Cina.
Parlimen Alor Setar merupakan kerusi tradisi MCA namun parti itu mengalami kekalahan teruk pada PRU13 dan PRU14.
Semalam, Khairy membayangkan tidak mustahil menjadikan Kedah destinasi seterusnya untuk beliau bertanding pada PRU15
Beliau berkata, perkara itu bukan mustahil kerana Kedah amat dekat di hatinya yang merupakan negeri kelahiran ibunya. – Malaysiapost

