Krisis ekonomi: Jangan ‘auta’ rakyat – Tengku Zafrul

0
2

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru agar rakyat menyemak fakta mengenai keadaan ekonomi negara agar tidak mudah di ‘auta’ kononnya negara mengalami krisis ekonomi.

Beliau turut mengingatkan pihak berkenaan yang membuat dakwaan mengenai keadaan ekonomi negara itu supaya tidak mengelirukan rakyat dengan penipuan dan mempolitikkan semua perkara untuk mencetuskan polimik.

Tengku Zafrul dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya, menjawab mengenai dakwaan Malaysia mengalami krisis ekonomi hanya kerana ringgit berada pada paras yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Pertama sekali saya nak kongsikan bahawa prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

“Nilai ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, tetapi mata wang serantau dan juga negara maju lain banyak yang telah menurun berbanding dolar AS,” katanya.

Beliau memberikan contoh beberapa mata wang dunia yang menyusut berbanding dolar AS, antaranya yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu dan pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun.

“Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu; yuan China turun sebanyak 8.3 peratus; peso Filipina turun sebanyak 10.3 peratus; baht Thailand turun sebanyak 8.7 peratus; won Korea turun 13.7 peratus dan dolar New Zealand turun 10.5 peratus” katanya.

Menurutnya, meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit telah meningkat.

“Nilai ringgit naik 14.2 peratus berbanding yen Jepun, naik 8.2 peratus berbanding pound sterling, naik 4.5 peratus berbanding euro, naik 3.9 peratus berbanding dolar New Zealand dan naik 7.2 peratus berbanding won Korea.

“Yang penting juga, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.

“Jadi janganlah tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia…depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, apa yang perlu dipastikan adalah asas-asas ekonomi negara terus kukuh kerana ia penting dalam menentukan kekuatan mata wang negara.

Beliau berkata, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang bagi tiga suku tahun berturut-turut bermula pada suku keempat 2021 sebanyak 3.6 peratus, suku pertama 2022 (5.0 peratus) dan suku kedua 2022 (8.9 peratus).

“Jadi, tidak masuk akal kalau dengan petunjuk-petunjuk positif ini, ada yang kata kita dalam krisis ekonomi.

“Kesimpulannya, jangan kelirukan rakyat dengan ‘auta’ dan mempolitikkan semua perkara untuk mencetuskan polimik. Baca dan semak fakta. Rajin-rajin membaca dan bertanya,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here