‘Semoga MN terus satukan umat Islam dalam 2 parti terbesar Melayu’ – Khairuddin

0
2

SEMPENA ulang tahun ketiga penubuhan Muafakat Nasional (MN) hari ini, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengimbau kembali penubuhan gabungan itu yang telah menyatukan 4.2 juta umat Islam dari dua parti politik Melayu yang telah berpecah sejak 1977.

Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, MN adalah salah satu bentuk Ta’awun Siyaasi (kerjasama politik) yang berjalan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika PAS-Umno masing-masing menjadi pembangkang di peringkat nasional.

Katanya, kerjasama MN akhirnya membawa PAS dan Umno masing-masing kembali menerajui kerajaan Persekutuan hari ini selepas kerjasama dibuat dengan Bersatu dan pecahan PKR.

“Di pihak PAS, Ta’awun Siyaasi antara PAS dan Umno telah melalui proses yang panjang untuk diluluskan. Benihnya telah bermula sebelum PRU14 dengan keputusan dasar oleh Majlis Syura Ulamak berkaitan pentingnya penyatuan umat Islam dalam realiti politik tanah air.

“Seterusnya ia digerakkan secara aktif dengan keputusan dasar terkini oleh Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) sebaik berakhir PRU ke 14. Ia seterusnya dibawa untuk diluluskan oleh 2 Muktamar Tahunan PAS iaitu Muktamar Tahunan Kali ke 64 pada 2018 dan Muktamar Tahunan Kali ke 65 pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, MN dirasmikan pengisytiharannya dan ditandatangani Piagam menerusi program besar menghimpunkan ribuan pimpinan utama dan pertengahan PAS dan Umno dari seluruh negara pada 14 September 2019 di Dewan PWTC, Kuala Lumpur.

“Nostalgia tangisan kegembiraan pimpinan dan ahli yang bersatu dan berpadu setelah berperang dan ‘berparang’ sejak 1977 tentu tidak dapat dilupakan oleh rakyat yang menyaksikan program siaran langsung ke seluruh negara.

“Sanak saudara yang terputus hubungan rahim di ceruk kampung khususnya di Pantai Timur akibat politik ditaut kembali.

“Masing-masing mengaitkannya dengan perpaduan antara Aus dan Khazraj di zaman Nabi (saw) yang bertelingkah ratusan tahun sebum disatukan oleh Nabi (saw) atas nama Islam lalu menjadi teras kekuatan negara Madinah,” ujarnya.

Sementara itu, bekas pemimpin PAS itu berkata, dalam Perlembagaan PAS ada menyebut semua pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS, dan membuat keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh Majlis Syura ‘Ulamak.

Selain itu, katanya, lebih menarik adalah antara intipati terpenting Piagam Muafakat Nasional ialah merujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah dalam apa sahaja pertikaian yang berlaku.

“Semoga Allah memberkati Muafakat Nasional dan terus menghidupkannya dalam usaha menyatukan umat Islam dalam dua parti terbesar Melayu Islam yang berpolitik dalam tanah air tercinta ini,” katanya.

Piagam MN dimeterai Umno dan PAS pada 14 September 2019.

Gabungan dua parti Melayu itu bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here