CIRI baharu Ikrar Derma Organ yang telah dilancarkan pada 6 September 2022 dalam kemas kini MySejahtera mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih daripada 4,500 ikrar dibuat setakat jam 3 petang kelmarin.
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan terdapat kira-kira 700 pengikrar penderma organ baharu sehari sejak ciri baharu ini diperkenalkan.
“Sambutan rakyat Malaysia adalah sangat menggalakkan. Ia disumbangkan oleh kemudahan untuk proses ikrar dalam inisiatif baharu ini,” menurut KKM.
KKM juga mengingatkan mereka yang sudah membuat ikrar sebagai penderma organ agar memaklumkannya kepada ahli keluarga.
“Ciri baharu Ikrar Derma Organ dalam kemas kini MySejahtera baharu (versi 2.0.5) membolehkan sesiapa sahaja untuk mengikrarkan atau menarik balik ikrar mereka pada bila-bila masa masa.
“Apabila berikrar, waris terdekat juga akan dimaklumkan,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pada 3 September lalu memaklumkan KKM akan memperkenalkan ciri baharu dalam MySejahtera, yang membolehkan pengguna menjadi pengikrar penderma organ selepas kematian, menerusi aplikasi itu.
Menurutnya, langkah berkenaan adalah sebagai usaha KKM untuk meningkatkan kadar penderma organ, selepas Malaysia disenaraikan antara 10 negara dengan kadar pemindahan organ terendah di dunia, tahun lalu. – Malaysiapost

