Warga emas dalam tahanan mati sebelum sempat didakwa

0
2

SEORANG lelaki warga emas yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan dadah dilaporkan meninggal dunia semalam selepas didapati berada dalam keadaan tidak sihat di Lokap Balai Polis Jelapang, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahya Hassan, berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Jalan Carey, Ipoh pada 10 September lalu.

“Pada 13 September (semalam) jam 9.02 pagi, lelaki terbabit didapati berada dalam keadaan tidak sihat di Lokap Balai Polis Jelapang sementara sedang menunggu untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi tujuan pertuduhan.

“Pihak polis telah menghubungi pihak hospital dan lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, setelah rawatan kecemasan diberikan oleh pegawai perubatan, tahanan terbabit disahkan meninggal dunia di HRPB pada jam 10.30 pagi.

“Kes ini kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

“Bedah siasat dijadualkan pada 14 September (hari ini) untuk mengetahui punca kematian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here