‘Umno jangan campur tangan dalam kebebasan media’ – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas tindakan Umno yang didakwa cuba untuk campur tangan dalam isu kebebasan media menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata demikian susulan pengumuman perubahan dalam sidang pengarang akhbar New Straits Times (NST) yang didakwa membabitkan campur tangan politik.

“Umno sepatutnya jangan campur tangan dalam kebebasan media. Jangan cuba nak tukar pengarang kumpulan NST menjelang PRU15.

“Biarkan media melaksanakan tugas dengan bebas. Biarkan entiti korporat yang tentukan.

“Jangan disebabkan naratif tidak menyebelahi Umno, semua nak tukar, semua nak masuk campur tangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Syed Saddiq juga menggesa Umno berhenti untuk melakukan tindakan mencampuri urusan media dan badan kehakiman negara.

“Hari itu nak campur tangan dalam institusi kehakiman, kali ini media pula?Saya pun tak selalunya dapat liputan yang baik.

“Tapi saya tahu, wartawan-wartawan kita tahu buat kerja mereka. Saya puji Perdana Menteri untuk tak membenarkan sebarang campur tangan politik dalam NSTP,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan media seharusnya dipelihara dan dipertahankan kerana organisasi berkenaan merupakan prinsip yang penting.

“Satu-satunya cara kita boleh mendapatkan kebenaran adalah melalui laporan media yang tidak berat sebelah. Biarkan mereka melaporkan secara bebas,” katanya.

Semalam, NST mengumumkan wartawan veteran Farah Naz Karim akan menjadi pengarang kumpulannya berkuat kuasa esok.

Pada masa ini, Farrah adalah produser eksekutif untuk program isu semasa di Media Prima.

Menurut Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor, NST akan terus membuat perubahan termasuk dalam kepimpinannya sejajar dengan pergerakan pesat dan persaingan yang kian meningkat dalam industri media. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here