Menteri Agama nasihat Guan Eng berhenti main isu perkauman

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menasihati Lim Guan Eng supaya berhenti memercikkan api perkauman di negara ini dengan membuat tuduhan tidak berasas membabitkan bidang tugasnya sebagai menteri.

Idris berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi DAP itu semalam, yang mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai Menteri Agama sekali gus menyarankannya meletak jawatan.

Menurut Guan Eng, Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam dengan mendedahkan kisah mangsa kepada umum serta cuba untuk mengganggu-gugat gaya hidup dan hak adat orang bukan Islam di negara ini.

Idris menegaskan, kenyataan Guan Eng itu hakikatnya jauh tersasar dengan segala tuduhan yang dibuat dan ia dilihat seolah-olah cubaan menghasut masyarakat bukan Islam menjauhi kepercayaan yang diamalkan umat Islam.

“Sedangkan di luar sana, cukup ramai ‘non muslim’ yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormari pendirian dan pengamalan oleh Umat Islam itu sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Dalam masa sama, Idris mempersoalkan adakah salah sekiranya beliau menggunakan ilmu dan hujah agama memandu umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam itu sendiri.

“Saya kira ianya fitnah yang berat mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku.

“Adakah salah untuk saya sebagai Menteri Agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikitpun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?,” soalnya.

Dalam pada itu, Idris berkata, rakyat juga tidak dapat melihat idea-idea tuntas pembangkang selain daripada terus menerus mencari kesalahan di atas mana-mana usaha baik dilaksanakan kerajaan.

“Ianya seperti mengulang episod ketika mereka diberi peluang memerintah, habis semua kesalahan dituding kepada pemerintahan lama, sehingga tidak sempat menunaikan janji kayangan yang dilaungkan semasa berkempen dalam PRU14.

“Isunya, banyak lagi kerja kena buat, daripada kita melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat sedang mahu pulih daripada pasca pandemik. Kasihanilah rakyat kita wahai YB (Guan Eng).

“Saya khuatir, nanti rakyat melihat kamu, seperti ayam berak kapur. Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here