KPKT, JBPM bersiap siaga hadapi risiko banjir – Reezal Merican

0
2

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan persiapan dan pelan strategi menyeluruh dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan risiko banjir.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau mengikuti rapat perkembangan dan laporan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia berkaitan MTL yang dijangka bermula November hingga Mac 2023.

Katanya, Pusat Pangkalan Hadapan (RFB) atau Regional Forward Base diwujudkan yang berfungsi sebagai kawasan penempatan anggota dan logistik mengikut tiga pecahan wilayah.

Beliau berkata, tiga pecahan wilayah yang terlibat iaitu Wilayah Timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang); Wilayah Utara (Kedah, Perak, Pulau Pinang, Perlis) dan Wilayah Selatan (Johor, Negeri Sembilan, Melaka).

“Penempatan atau lokasi RFB di tiga wilayah ini ialah di ABPM (Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia) Wakaf Tapai, Terengganu bagi Wilayah Timur; BBP (Balai Bomba dan Penyelamat) Perda, Pulau Pinang (Wilayah Utara) dan BBP Ayer Hitam, Johor (Wilayah Selatan) yang akan membantu bomba menggerakkan bantuan lebih teratur dan pantas.

“Bagi Wilayah Tengah melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekuatan anggota dan logistik pasukan bomba negeri telah bersedia pada tahap optimum, pada masa sama bantuan RFB lain akan digerakkan sekiranya bantuan diperlukan.

“InsyaAllah pengwujudan RFB ini berupaya memperkukuh dan memanfaatkan kekuatan hampir 30,000 anggota bomba di seluruh negara pada tahap optimum, di mana anggota dari negeri bersebelah yang tidak terjejas akan digerakkan ke negeri terkesan banjir,” katanya di hantaran Facebook hari ini.

Reezal Merican berkata, selain itu anggota yang berada di pusat Akademi Latihan juga digerakkan bersekali dengan dengan jentera, peralatan dan lain-lain keperluan logistik milik Akademi.

Dalam masa sama, katanya, RFB akan sentiasa berkomunikasi bersama Pusat Pengurusan Operasi (PPO) dan segala arahan yang diterima dari PPO perlu digerakkan secepat mungkin.

Tambah beliau, operasi bilik gerakan RFB terbabit juga beroperasi selama 24 jam sehingga operasi banjir ditamatkan.

“InsyaAllah, ini antara ikhtiar Wira Merah kita dalam melindungi Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here