Bomba tambah pegawai, anggota berdepan ancaman banjir

0
2

Ben Ibrahim

SERAMAI 3,200 pegawai dan anggota bomba yang berkhidmat di bahagian pentadbiran dan latihan turut disenaraikan dalam operasi pengurusan bencana sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata penambahan jumlah keanggotaan itu sangat penting susulan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini.

“Berdasarkan laporan dan ramalan MetMalaysia, berkemungkinan MTL tahun ini adalah sama dengan tahun lalu dan mungkin lebih teruk, jadi kita kena bersedia dengan jumlah pegawai dan anggota mencukupi.

“Jadi, kita sudah maklumkan kepada semua pegawai dan anggota, termasuk mereka yang bertugas di pejabat atau akademi latihan untuk bersama dalam operasi bencana.

“Begitu juga aset yang kita ada, buat masa ini sejumlah 1,800 aset untuk kegunaan di darat dan air serta lapan helikopter jabatan sudah bersedia untuk digerakkan apabila berlaku banjir,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Mohammad Hamdan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 75 pegawai dan anggota bomba Pahang.

Turut hadir Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, semalam, Mohamad Hamdan berkata, mesyuarat sama di peringkat negeri dan daerah akan diadakan bermula hujung minggu ini.

“Semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah sudah diaktifkan, sebaik sahaja Perdana Menteri mengeluarkan arahan selepas mesyuarat pagi semalam.

“Mesyuarat membabitkan agensi dan kerajaan negeri serta daerah akan diadakan minggu ini bagi menyelaraskan tugasan semua agensi terbabit,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, semua badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, perlu memaklumkan kepada pihak jawatankuasa pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah bagi memudahkan koordinasi dilakukan.

Selain itu, Mohammad Hamdan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir di kawasan mereka untuk memudahkan proses pemindahan dilakukan.

“Kita perlu mengambil kira semua situasi memandangkan pernah berlaku banjir di kawasan yang tidak kita jangka, seperti di Bentong dan Maran sebelum ini.

“Selain itu, pegawai dan anggota bomba bersama jentera juga akan ditempatkan di pangkalan hadapan tertentu supaya operasi menyelamat dan menghantar bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir dalam diselaraskan dengan lebih berkesan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here