MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyangkal laporan menyatakan Datuk Seri Najib Razak akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan.
Menurut Khairy, setiap banduan perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan berdasarkan prosedur ditetapkan, lapor Sinar Harian.
“Prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Beliau mengulas laporan menyatakan bekas Perdana Menteri itu yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, akan dirujuk ke IJN selepas dimasukkan ke HKL semalam.
Terdahulu media melaporkan, Najib mungkin dirujuk IJN hari ini, memetik kenyataan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika prosiding kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muhammad Shafee berkata, tekanan darah Najib dilaporkan tidak menentu malah puncanya masih belum diketahui.
“Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan keputusan pemeriksaan itu akan diketahui beberapa hari lagi,” katanya.
Semalam juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di media sosial mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan yang terbaik kepada bekas Perdana Menteri itu.
Beliau turut mendoakan Najib supaya diberikan kesihatan yang baik.
IJN merupakan sebuah entiti swasta atau badan dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar di bawah Akta 586. – Malaysiapost

