Saringan bersasar percuma buat penduduk Selangor pulang dari Sabah

0
3
SHAH ALAM, 13 Julai -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2020 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KERAJAAN Selangor akan melaksanakan saringan bersasar percuma kepada penduduk negeri itu yang pulang dari Sabah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, ia membabitkan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Katanya, ia antara langkah terkini kerajaan Selangor bagi mengekang merebaknya Covid-19 di negeri itu berikutan kenaikan mendadak jumlah kes sejak beberapa hari lalu.

Turut dilaksanakan ialah melanjutkan waktu operasi Bilik Gerakan Covid-19 sehingga 7 malam, mengehadkan waktu operasi restoran berkonsepkan bar setakat jam 11 malam mulai 3 Oktober lalu.

Selain itu, menambah baik aplikasi SeLangkah, mewujudkan empat pusat tahanan sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengehadkan persidangan dan perhimpunan secara beramai-ramai.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang kepada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pagi tadi.

“Beberapa cadangan diusulkan mengambil kira faktor ekonomi, kesihatan dan sosial. Untuk keseragaman informasi, kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan petang ini,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan PKPB di daerah Klang mulai jam 12.01 tengah malam ini sehingga 9 Oktober.

Ia berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah berkenaan yang kini diisytiharkan sebagai Zon Merah. – Malaysiapost