KPM teliti pandangan, idea belia tambah baik sistem pendidikan

0
3

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) terbuka memberi ruang kepada golongan belia untuk menambah baik, seterusnya mencorakkan sistem pendidikan negara pada masa depan.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata cadangan serta lontaran pandangan generasi muda akan diteliti satu persatu, sekali gus menjadi input dalam perancangan serta transformasi sistem pendidikan sedia ada.

Beliau berkata ruang tersebut diberikan kepada golongan terbabit dalam program-program dihadirinya, termasuk sesi dialog.

“Baru-baru ini saya meluangkan masa untuk bersama warga belia dalam #RuangBelia: Dialog Anak Muda bertemakan Pendidikan dan Masa Depan Malaysia.

“Dalam sesi tersebut, saya berkongsi tentang perancangan dan transformasi yang telah, sedang dan akan KPM lakukan.

“Ini termasuklah menerangkan tentang pendekatan yang dilaksana oleh KPM dalam pemansuhan UPSR dan PT3 serta hal berkaitan pendidikan yang pastinya memberi impak bagi masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Dr Radzi, pada hujung sesi tersebut, beliau memberi ruang seluasnya kepada golongan terbabit untuk bertanya soalan dan memberi cadangan dalam menambahbaik sistem pendidikan negara.

“Soalan dan cadangan yang dilontarkan oleh anak-anak muda ini amat saya hargai dan boleh dijadikan input dalam perancangan KPM. Kami akan telitikan satu-persatu,” katanya.

Tambahnya, golongan belia hari ini adalah kelompok penting sebagai peneraju dalam menentukan masa depan sesebuah negara.

Hal ini katanya, bukan hanya terhad kepada penglibatan dalam komuniti, malah peranan mereka untuk menjadi generasi pewaris negera berkualiti tinggi. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr. Radzi Jidin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here