AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi akan menyenaraikan semula soalan bagi menuntut jawapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung keputusan penghakiman kes mahkamah.
Perkara itu dinyatakan Mohd Puad sebagai maklumbalas daripada kenyataan Tengku Maimun yang meminta ahli politik dan masyarakat membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.
Menurut Mohd Puad, beliau sebelum ini sudah mengemukakan beberapa soalan berhubung perkara berkenaan namun tidak mendapat jawapan.
“Ketua Hakim (Tengku Maimun) kata kalau tak faham jangan komen keputusan penghakiman yang telah dibuat. Tanya dulu.
“Ekorannya beberapa soalan telah dikemuka. Tak jawab pun. Besok saya senaraikan balik soalan itu,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Baru-baru ini, Tengku Maimun menggesa ahli politik dan masyarakat membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.
Beliau berkata, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutamanya selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah berdasarkan sentimen semata-mata.
Tegasnya, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.
“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman,” katanya. – Malaysiapost

