DBN 2.0: Transformasi Malaysia jadi negara pembangun teknologi – PM

0
2

DASAR Bioteknologi Negara (DBN 2.0) akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang bagi memperkasakan sektor bioteknologi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga tunjang itu adalah Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan; Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

“DBN 2.0 bakal memacu momentum yang digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 – 2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ketika ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedang merancang menjalankan Projek MyGenom yang melibatkan 10,000 hingga 100,000 sampel manusia di Malaysia.

Katanya, ia bertujuan untuk rujukan bagi kepelbagaian populasi dan etnik Keluarga Malaysia yang mencirikan variasi genetik dan menghimpunkan data genom dalam perubatan diagnostik dan pencegahan.

“Kerajaan sentiasa menyokong penuh DBN 2.0 dan yakin ia akan memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan.

“Oleh itu, semasa Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (semalam), saya meluluskan peruntukan RM5 juta bagi tujuan pelaksanaan Bio-based Accelerator (BBA) dan RM2 juta bagi BioMalaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here