Trend kejatuhan nilai ringgit membimbangkan – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan kebimbangan dengan trend kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar yang berlaku ketika ini.

Beliau berkata, walaupun situasi semasa masih belum seburuk 1998, namun kadar RM4.52 bersamaan USD1 ketika ini sudah tentu memberi kesan besar kepada harga barang terutama dari luar negara.

“Istilah ini kita panggil sebagai ‘imported inflation’. Kita mungkin tidak perasan pada peringkat awalnya kerana masih berjual beli dengan ringgit. Tetapi situasi ini secara perlahan lahan akan menyebabkan kenaikan barang sehinggalah pengguna merasa terjerut akhirnya,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, keadaan itu sekali gus menyaksikan bahawa langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) nampaknya kurang berkesan untuk menaikkan semula nilai ringgit.

“Saya kira sudah sampai masanya satu tindakan drastik dibuat.

“Antara langkah yang saya lihat boleh dibuat adalah dengan mengenalpasti semula barangan keperluan import yang terkesan disebabkan kejatuhan nilai ringgit. Contohnya produk-produk berasaskan tepung,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan pengenalpastian itu, kerajaan boleh melaksanakan kaedah-kaedah pengurangan kos dalam jangka pendek seperti penghapusan duti import secara sementara.

“Langkah ini sudah tentu akan memerlukan tindakan bersepadu daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga menzahirkan rasa bimbang apabila rakyat mula melihat usaha-usaha kerajaan selama ini sebagai retorik.

Ini kerana katanya, rakyat melihat kerajaan seolah olah hanya menumpukan kawalan kepada harga minyak dan ayam, sedangkan hakikat kelangsungan hidup jauh lebih besar daripada itu.

“Langkah menaikkan semula nilai Ringgit juga mesti diperkasakan. Supaya kesan ‘imported inflation’ ini dapat dikurangkan.

“Jika sekiranya kerajaan masih percaya matawang kita boleh dipulihkan dengan menaikkan kadar faedah, maka saya minta agar satu kaedah pengecualian/subsidi ke atas industri PKS dan rakyat M40 ke bawah hendaklah dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan hari ini, tidak wajar kerajaan mengurangkan kuasa beli rakyat kerana ia bertentangan dengan polisi pemulihan ekonomi negara.

“(Ini) kerana ekonomi setiap negara itu terasnya datang daripada keyakinan rakyat mereka. Apabila rakyat hilang percaya, maka ekonomi akan runtuh binasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here