DATUK Lokman Noor Adam memaklumkan pihak polis sekali lagi memanggilnya bagi merekod keterangan berhubung satu klip video di media sosial yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Lokman berkata dia telah dimaklumkan oleh pihak polis supaya hadir ke Balai Polis Sentul, Jumaat ini.
“Pihak polis telah menghubungi saya dan diminta hadir ke Balai Polis Sentul pada Jumaat ini pada pukul 2 petang,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu, dengan menamakan Lokman, 49, selaku defendan tunggal.
Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu telah membuat kenyataan-kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap plaintif dalam satu video di media sosial yang bertajuk “Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir”.
Ismail Sabri telah memperolehi perintah injunksi secara ExParte untuk membuat Lokman memadam video yang beliau buat pada 22 Ogos lalu.
Perintah Interparte yang akan melibatkan Lokman dan peguamnya akan didengari pada 26 September ini.
Awal bulan ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.
Bagaimanapun, Lokman mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Lokman yang dilihat sebagai satu-satunya aktivis yang lantang mendokong hasrat kepimpinan dan akar umbi Umno yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan sebelum Oktober ini, menegaskan akan melawan segala pendakwaan terhadapnya.
“Saya telah melantik peguam bagi melawan segala kes pertuduhan terhadap saya,” katanya. -Malaysiapost

