Najib ada hak dapatkan rawatan yang sewajarnya – Ahmad Zahid

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar diberikan hak 
untuk mendapatkan rawatan terbaik bagi merawat penyakitnya. 

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Najib berhak mendapatkan rawatan untuk penyakitnya meskipun sedang menjalani hukuman penjara. 

“Saya juga menuntut agar bekas Perdana Menteri itu mendapat hak keselamatan, kesihatan dan kemanusiaan yang sewajarnya walaupun dipenjarakan.

“Saya berasa sedih dan kecewa menerima perkhabaran Datuk Seri Najib Razak terpaksa dikejarkan ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan,” katanya di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang nanti kerana mengalami masalah kesihatan.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap keluarga Najib bersabar menghadapi dugaan yang menimpa ahli keluarga mereka. 

“Kepada seluruh ahli keluarganya, saya berharap mereka semua tetap tabah dan cekal. InsyaAllah kebenaran akan terlihat apabila tiba masanya.

“Saya berdoa dengan sepenuh hati semoga Allah S.W.T memberi kesembuhan kepada Najib Razak dan sentiasa melindunginya daripada sebarang bahaya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here