KJ cetus spekulasi bertanding di Kedah 

0
2

KHAIRY Jamaluddin membayangkan tidak mustahil menjadikan Kedah destinasi seterusnya untuk beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

Beliau berkata, perkara itu bukan mustahil kerana Kedah amat dekat di hatinya yang merupakan negeri kelahiran ibunya.  

“Mak saya dari Kedah,” katanya memetik laporan Berita Harian. 

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi, hari ini. 

Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Kesihatan secara berseloroh berkata, kehadirannya ke Kedah hari ini adalah untuk bertemu Menteri Besar Kedah  bagi membincangkan mengenai perkara itu.  

“Hari ini saya berada di sini untuk berbincang dan berunding (bertanding kerusi Parlimen) dengan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor),” katanya.  

Muhammad Sanusi yang berada di sisinya pada sidang itu turut mencelah dengan berkata, “Dialu-alukan… tadi dengar sebut Aloq Setaq, Aloq Setaq, cakap Kedah elok dah.” 

Tidak mahu memanjangkan isu itu, Khairy berkata dan menamatkan sidang media dengan berkata “Tak apalah.” 

Minggu lalu, Khairy mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya selama tiga penggal pada PRU15.  

Menurutnya, beliau akur dan  memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here