PENYANYI rap, Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang, tampil dengan lagu barunya ‘Aduh Malaysia’ dalam acara Rapat Mega Keadilan di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, malam tadi.
Lagu mengenai penyamun itu diperdengarkan kepada semua yang hadir di acara tersebut termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Rafizi Ramli.
Menurut Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, tajuk lagu itu diambil daripada inspirasi pergerakan yang dilancarkan oleh Rafizi iaitu ‘Ayuh Malaysia’.
“Saya diminta untuk buat sesuatu yang istimewa pada malam ini dan ada yang minta saya menyanyi. Tetapi dah tiga tahun saya tidak menyanyi,” katanya dalam acara berkenaan malam tadi.
Altimet pada 2018 mengumumkan bersara daripada nyanyian dan tidak akan membuat sebarang persembahan lagi selepas berusia 40 tahun.
Namun sebagai memberi sedikit kompromi, penyanyi berusia 43 tahun itu memperdengarkan rakaman lagu baru berkenaan sambil minta semua yang hadir menyanyi bersamanya.
“Jadi untuk semua yang minta saya menyanyi, saya minta maaf banyak-banyak, tapi bolehkah saya menawarkan satu kompromi. Ahli-ahli cabang saya ada mengedarkan lirik.
“Sebagai satu kompromi kita perdengarkan satu lagi baru..lagu ini pasal penyamun,” katanya.
Antara lirik lagu berkenaan adalah “Hoi hoi ya hoi siapa sokong penyamun? Hoi bangun yang lama mengelamun. Duit kau aku, semua dia sapu”.
Setakat ini video penampilan Altimet ketika memperdengarkan lagu berkenaan yang dimuat naik di YouTube sudah mendapat lebih 2,700 tontontan dan mendapat pelbagai reaksi serta komen.
Altimet menang pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang pada Julai lalu dengan memperoleh sebanyak 743 undian sekali gus mengenepikan pesaing terdekatnya, pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac.
Penyanyi berkenaan menyertai PKR pada April tahun lalu bersama rakan artisnya, Afdlin Shauki. – Malaysiapost

