Perlembagaan ‘lapuk’ BN perlu dipinda semula – Zahid

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perlembagaan gabungan itu perlu dipinda semula bagi membolehkan parti-parti lain menyertai parti tersebut.

Beliau juga menegaskan, perlembagaan lapuk yang ada pada masa ini seharusnya diketepikan serta dirombak semula.

“Kerana syaratnya jika ada satu parti menolak mana-mana parti yang (mahu) masuk, maka itu tidak boleh dilakukan.

“Perlembagaan BN perlu dirombak semula,” katanya seperti dilaporkan portal BNOnline.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mempersolkan mengapa pihaknya perlu menolak parti yang mahu menyertai dan berkawan dengan BN: “Orang mahu berkawan dan orang mahu menyertai kenapa perlu ditolak?,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bahawa pihaknya akan melakukan pembersihan di dalam BN dan Umno.

“Kita tahu kalau ada musuh di luar parti kita, itu kita kenal pasti dengan mudah. Kalau ada duri dalam daging, gunting dalam lipatan, kita kenal. Sekilas ikan di air, kita kenal jantan dan betinanya.

“Tidak lama, saya ulangi, tidak lama. Sesuatu mesti dilakukan untuk membersihkan. Kita harus melakukan pembersihan dari dalam.

“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan. Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here