PAS kekal menganggap Umno sebagai rakan ta’awun (kerjasama) dan akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan serta perundingan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bermesyuarat semalam memutuskan terus konsisten dan komited dengan agenda penyatuan ummah.
Menurutnya, agenda itu menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Keadaan ini sekaligus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan Ummah termasuk Umno sebagai rakan ta’awun terutama dalam membina negara yang baik dan diredhai Tuhan.
“Ini adalah selaras dengan tuntutan Allah dalam Surat al-Maidah ayat 2 yang bermaksud “… Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, perundingan bersama semua rakan-rakan ta’awun akan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.
“Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak Pas Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar Pas ke-68 di Alor Setar baru-baru ini.
“Pas juga tetap dengan penegasan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak menerima konsep ‘Khemah Besar’ tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini,” katanya.
Takiyuddin berkata, Pas amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.
“Seterusnya ia akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali,” katanya. – Malaysiapost

