Helikopter hilang: PKTK diwujudkan di Balai Polis Bidor – CAAM

0
2

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) melalui udara bagi mengesan sebuah helikopter yang dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dijalankan sehingga jam 8.30 malam tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan, memaklumkan operasi pecarian melalui udara membabitkan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Helikopter PDRM, Police Chopper MD selesai melaksanakan pencarian jam 6.39 petang dan Selamat kembali ke Lapangan Terbang Subang pada jam 7.03 malam.

“SAR oleh helikopter TUDM, Rescue01 dilaksanakan sehingga jam 7.12 malam. Rescue01 Selamat mendarat di Butterworth, Pulau Pinang pada 8 malam.

“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh meneruskan operasi sehingga jam 8.30 malam untuk membantu operasi SAR,” menurut kenyataan itu.

Menurut CAAM, pencarian di darat juga telah dilaksanakan oleh PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ibu Pejabat Polis (IPD) yang terbabit adalah IPD Ipoh dan Balai Polis Bidor, manakala pasukan bomba membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dan Tapah.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM telah siap melaksanakan perancangan bagi usaha pencarian di darat hari ini di Kampung Kenangan, Bidor,” katanya.

Menurutnya Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diwujudkan di Balai Polis Bidor bagi operasi pencarian pesawat berkenaan.

Terdahulu, helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12:37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Helikopter jenis Eurocopter EC120B, pendaftaran N409 HH dikendalikan Heli Outpost Sdn Bhd gagal dihubungi oleh pada 12.16 tengah hari semalam dengan koordinat terakhir dikesan berhampiran Hutan Simpan Chikus, Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here