Projek Terminal Bersepadu Ipoh Sentral tingkat kualiti pengangkutan awam

0
1

KERAJAAN bersetuju membangunkan Terminal Bersepadu Ipoh Sentral bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sistem pengangkutan awam kepada orang ramai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kerajaan melalui Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah mencapai persetujuan dengan pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) untuk pembangunan projek terbabit.

“Pihak RAC sedang mengadakan penyelidikan secara terperinci bagi mewujudkan satu pelan pembangunan moden yang dapat membekalkan perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti.

“(Selain itu) dalam masa sama memelihara nilai-nilai warisan, mengambil kira bangunan Stesen KTM (Ipoh) dan beberapa rumah ibadat bersejarah di sekitarnya yang merupakan khazanah yang begitu berharga serta perlu dikekalkan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengurus RAC, Adam Abu Hanipah mengadakan lawatan kerja ke Stesen KTM Ipoh bagi meninjau sendiri operasi harian di stesen tersebut, semalam.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, selaku Menteri Pengangkutan beliau menjanjikan satu formula terbaik, bukan sahaja dari segi peningkatan sistem pengangkutan awam di Bandar Ipoh, tetapi juga membangunkan hub bersepadu yang memiliki nilai-nilai warisan berharga.

“Ia sekali gus dapat dijadikan sebagai satu tempat pelancongan yang membawa lebih ramai pelancong luar negara dan tempatan ke Ipoh, merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya peniaga dan penjaja kecil tempatan,” katanya.

Ka Siong berkata, Stesen KTM Ipoh adalah stesen keretapi kedua paling sibuk di Malaysia selepas KL Sentral, dengan pengendalian seramai 4,000 penumpang setiap hari.

“Projek pembangunan Terminal Bersepadu Ipoh Sentral itu akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sistem pengangkutan awam dan tahap keselesaan para pengguna stesen ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here