PM tidak boleh adakan PRU15 hanya kerana ugutan – Anwar

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15) atas sebab ugutan pihak tertentu.

Beliau berkata, tidak wajar bagi Perdana Menteri bertindak melulu untuk mengembalikan mandat rakyat, atas sebab kepentingan pihak tertentu, termasuk untuk membebaskan pihak tertentu daripada kes mahkamah.

“Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak kecil, kepentingan mereka untuk bebaskan kes mahkamah dan sebagainya.

“Kita tahu pilihan raya (semakin hampir). Dalam Pakatan Harapan (PH) juga, kita sudah bersiap sedia dan menggerakkan jentera pilihan raya serta membuat rundingan (kerusi),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjadi panel pada Sesi Townhall Pentas Interaksi Anak Muda di Pusat Alumni Universiti Malaysia (PAUM), hari ini.

Anwar menjangkakan PRU15 kemungkinan paling awal diadakan pada penghujung Oktober atau awal November depan iaitu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 selesai dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Menyentuh soal agihan kerusi dalam PH, beliau yang juga Pengerusi PH menjelaskan, secara kebiasaannya parti yang menang ketika PRU 2018 akan kekal bertanding di kerusi dimenanginya.

Beliau berkata, rundingan kerusi antara parti dalam PH sudah dilaksanakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada PH sedia menawarkan kerusi dimenanginya kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) jika MUDA diterima dalam gabungannya, Anwar berkata kebiasaannya kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu kekal untuk parti yang memenanginya.

Mengulas penolakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengenai hasrat MUDA menyertai PH, Anwar berkata, semua pandangan diterima dan akan diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

“Kita ambil pandangan semua. Walaupun ada alasan, kita kena bincang secara teliti implikasinya. Sesiapa juga yang bersama dengan PH, dia ada prinsip utama yang harus diterima. Ada parameter yang harus diterima pakai. Tapi, kita harus beri ruang untuk bincang dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pemimpin PH sedang berbincang dengan kerajaan bagi meneliti inisiatif serta program yang akan diumum dalam belanjawan itu.

“Kita tetap dengan pendirian kita, belanjawan harus bertanggungjawab dan mengambil kira masalah rakyat dan perubahan struktur harus berlaku.

“Kita masih tegak (pendirian) dengan isu tata kelola dan urus tadbir. Sebab, masalahnya ialah bila kita umum projek, semua menteri ketagih projek. Tidak ada ketelusan, ini juga saya tekankan. Rundingan sudah bermula dan PH akan teliti dalam Majlis Presiden,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here