BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan membalas dendam terhadap parti lawan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemimpin BN tidak memiliki sifat hasad dan menyimpan perasaan dendam kepada musuh politiknya.
Katanya, membalas dendam tidak menguntungkan mana-mana pihak.
“Saya yakin PRU15 nanti, BN akan berkuasa semula secara dominan dalam bidang politik di negara ini.
“Kita berjanji jika Allah mentakdirkan, mengizinkan kita memegang kuasa kembali kita tidak akan membalas dendam kepada sesiapa pun.
“Kita tidak balas dendam kerana kita tidak ada sifat ‘vindictive’ kepada sesiapa pun. Saya berjanji. Disaksikan oleh Allah dan para malaikat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Partu Makkal Sakti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Presiden Makkal Sakti Datuk Seri RS Thanenthiran, anak Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nizar dan Nooryana Najwa.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, membalas dendam terhadap musuh politik bukanlah satu perbuatan yang diterima dalam sebuah negara yang bertamadun seperti Malaysia.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, kemenangan yang diberikan oleh rakyat kepada BN merupakan satu bentuk pembalasan kepada pemimpin terbabit.
“Membalas dendam tidak akan berakhir . Membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa.
“Tetapi yakinlah biar rakyat yang menghukum mereka yang membalas dendam itu kerana dengan mandat rakyat pada PRU15 jika pemimpin-pemimpin itu ditolak, itulah pembalasan dendam sebenarnya daripada rakyat pada orang-orang itu,” katanya. -Malaysiapost

