MENTERI Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada Johor Darul Takzim (JDT) atas kejuaraan pasukan bola sepak itu dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2022, malam tadi.
Ucapan yang disertakan rakaman video berdurasi 0.8 saat memaparkan beliau memainkan biola itu turut diselitkan ‘usikan’ terhadap pasukan JDT tersebut.
“Tahniah JDT menang Piala FA semalam… sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Namun, rata-rata netizen menyifatkan komen Presiden Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu satu sindiran sekali gus dilihat masih tidak berpuas hati dan ‘move on’ terhadap kemenangan JDT ke atas pasukan pilihannya, Terengganu FC.
“Kedah tetap tak dapat apa-apa, sindir macam mana pun. Johor tetap juara terulung. Yang Kedah ke belakang. makin teruk prestasi adalah. Kihkihkih, tara tu ja level kita sindir. nampak sangatlah koyak,” kata Mohd Erwan.
Zila Shah berkata: “MB cakaplah dengan fakta dan kurangkan ketaksuban kenegerian ni, kesian penyokong negeri jadi mangsa. JDT tu kelab ye sesiapa pun boleh sokong atau tak bukan sebab pemain je tapi sebab pengurusan Kelab JDT tak ada orang-orang politik macam YB.
“Kalau ada orang politik dlm kelab bola memang tak kemana…Sejarah bola Malaysia telah membuktikan campur tanga orang politik memang jadi hancur,” katanya.
Manakala Yaya Alieya berkata: “Tak kisahlah mereka tak pandai cakap Johor, asalkan mereka ada rasa tanggungjawab atas gaji yang mereka terima bermain sehabis baik…memberi kemenangan buat JDT.”
Semalam, Pasukan JDT muncul juara selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Bukit Jalil. – Malaysiapost

