JENTERA Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu membawa mesej jelas kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya kerajaan negeri dan Persekutuan mestilah selari.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia supaya kebajikan rakyat, ekonomi dan pembangunan dapat dibangunkan.
“Dan paling penting kita mahukan BN sebagai sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berpengalaman,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu bekas Menteri Besar Johor itu berkata memasuki tahun keempat selepas PRU14 lalu, semua jentera parti perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15 untuk kembali memastikan kemenangan BN di peringkat Persekutuan.
Terdahulu beliau hadir Mesyuarat Umno Cawangan Taman Sri Pandan di Pasir Gudang, iaitu cawangan di mana beliau mendaftar sebagai ahli Umno.
“Saya juga mahukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Amar meneruskan momentum kerja kuat dan kemenangan dengan majoriti selesa seperti PRN Johor lalu agar BN dapat ambil semula kerusi Parlimen Pasir Gudang,” katanya. – Malaysiapost

