MALAYSIA menyeru negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan agar berkongsi pengalaman serta kemahiran sebagai usaha meningkatkan mutu sukan dalam kalangan negara-negara berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata langkah itu bukan sahaja dapat menambah jumlah atlet bertaraf dunia dalam kalangan negara anggota OIC, malah mewujudkan kitaran perniagaan lebih kompetetif.
Katanya, ia sekali gus memacu pertumbuhan industri sukan negara-negara anggota ke tahap lebih tinggi.
Pandangan itu disuarakan Malaysia pada persidangan ke-5 /slamic Conference of Youth and Sports Ministers (ICYSM) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi.
“Pada masa sama, Malaysia mencadangkan agar fokus tidak hanya kepada sukan berprestasi tinggi semata-mata, tetapi juga sukan atau permainan tradisional yang lebih terarah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota OIC.
“Malaysia amat percaya sukan adalah pemboleh penting untuk menggalakkan pembangunan dan keamanan, sekali gus merapatkan jurang antara negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata ICYSM turut membahaskan cabaran dihadapi golongan belia melibatkan negara anggota OIC dalam mengatasi kesan kejatuhan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, negara anggota OIC telah menerima baik pengalaman dikongsi Malaysia dalam usaha pembangunan belia dan sukan terutama menerusi pelaksanaan Model Pembangunan Belia 2030, yang melihat kedudukan belia berbeza dari segi kehendak dan keperluan pasca Covid-19.
“Justeru, Malaysia kekal teguh untuk bekerjasama bersama belia di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Demi mencapai hasrat ini, langkah inovasi dan pendigitalan, pengukuhan tadbir urus serta penyelidikan akan senantiasa diperhebatkan.
“Selain itu, Malaysia bersyukur kerana cadangan untuk menubuhkan Islamic Cooperation Youth Forum (ICYF) di Palestin, yang bertujuan memberi fokus kepada pembangunan, perkongsian idea dan pemerkasaan ekonomi melibatkan golongan belia negara itu telah dipersetujui,” katanya. – Malaysiapost

