PEMAKAIAN pelitup muka di kawasan sekolah ketika berada di dalam bangunan atau di kawasan terbuka adalah bergantung kepada pilihan masing-masing.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) amat mengalakkan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah khususnya di tempat orang ramai.
“Dalam masa sama anak-anak yang menaiki bas diingatkan anda memakai pelitup muka dalam bas sekolah.
“Apa yang penting kita pastikan kawasan di sekolah selamat. Maklumat lanjut tentang pemakaian pelitup muka di sekolah akan disertakan dalam kenyataan media,” katanya dalam video di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dijadikan sebagai pilihan, berkuat kuasa Rabu lalu.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun ketepatan baharu itu boleh ditentukan oleh pemilik premis sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.
KKM juga amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung membeli belah dan rumah-rumah ibadah. – Malaysiapost

