TIADA negeri akan tertinggal dalam persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata beliau akan bermesyuarat dengan semua pihak berkaitan Isnin ini bagi membincangkan mengenai persediaan berdepan banjir.
Susulan itu katanya, beliau tidak mahu ada negeri tidak bersedia menghadapi bencana tersebut seperti berlaku sebelum ini.
“Saya tak nak jadi seperti dulu, setengah negeri bersedia, setengah negeri yang tak biasa hadapi banjir tak bersedia dan akhirnya berlaku terutama di Selangor dan sebagainya.
“Saya nak kali ini semua bersedia bukan setakat di peringkat Persekutuan, banjir ini sampai ke peringkat daerah pun mesti bersedia sejak awal lagi,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute di Bangi hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata persediaan antara lain harus meliputi pusat pemindahan banjir dan stok bekalan makanan.
“Jadi dari segi peralatan untuk mengangkut, pusat perpindahan pun dah sedia. Kalau boleh semua sudah sedia sebelum berlaku apa-apa. Yang penting persediaan itu ada.
“Kita pun tak tahu berlaku besar atau kecil tapi kita mesti menganggap akan berlaku (banjir) besar. Jadi persediaan itu perlu dilakukan lebih awal. Jadi saya akan panggil mesyuarat Isnin depan,” katanya. – Malaysiapost

