
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu sokongan masyarakat bersatu memerangi penyebaran Covid-19 yang ketika ini disifatkan berskala besar.
Dr Noor Hisham, berkata tanpa sokongan semua pihak negara tidak mampu memenangi ‘peperangan’ berkenaan.
“Apa yang kami minta adalah orang awam untuk ‘Stay at Home’ (Duduk di rumah) dan jika tidak mampu, mohon patuhi SOP (prosedur operasi standard) yang mudah iaitu ‘Elakkan 3C dan Amalkan 3W’ ,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memberi kata-kata perangsang kepada petugas barisan hadapan yang mengakui ramai yang keletihan dan kecewa setiap kali kluster baharu muncul.
“Petugas barisan hadapan yang berada di belakang tabir bekerja keras 24/7 (24 jam sehari, tujuh hari seminggu) sejak 10 bulan lalu.
“Lagipun, kita hanya manusia. Kita mempunyai peluang kecil untuk melandaikan lengkungan sekali lagi,” katanya.
Beliau menegaskan petugas barisan hadapan adalah pelindung kepada kesihatan rakyat dan keselamatan negara.
“Kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus semangat dan terus kuat.
“Kesihatan menyatukan kita semua dalam melawan satu musuh bersama, Covid-19. Insya-Allah,” katanya.
Ketika ini, jumlah kes Covid-19 di Malaysia mencecah 13,993 kes dengan 489 kes baharu direkodkan semalam. -Malaysiapost
