Laman Warisan Kampung Laut lokasi wajib singgah di Kelantan – PM

0
2

KERAJAAN Persekutuan membelanjakan RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut, terdiri Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau teruja kerana Laman Warisan Kampung Laut kini menjadi satu destinasi wajib singgah oleh pengunjung di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.

Katanya, serunding Kampung Laut terkenal di Malaysia dan ia juadah yang mesti dibeli oleh pengunjung apabila ke Kelantan.

“Dengan adanya Laman Warisan Serunding, pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil pengusaha kepada pengunjung.

“Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun temurun. Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.

“Laman ini juga memberi peluang kepada karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil tangan seperti batik, wau dan barangan kraftangan di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika merasmikan Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri berkata jambatan Palekbang merupakan satu lagi projek strategik ECERDC yang mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di Kota Bharu.

Katanya, selain pembangunan Kampung Laut, satu lagi projek Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC ialah projek Jambatan Palekbang yang akan bermula hujung tahun ini.

“Jambatan ini akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan negeri Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di Pantai Timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

“Inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras aspirasi Keluarga Malaysia.

“Saya difahamkan pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Tambahnya, jambatan sepanjang 4 kilometer itu juga akan meningkatkan daya tarikan Kampung Laut sebagai destinasi wajib singgah dan akan menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing, terutama semasa musim perayaan dan cuti sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here