ECERDC tarik pelaburan komited RM13 bilion

0
3

MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik RM13 bilion pelaburan komited sehingga 31 Ogos 2022, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata ia bakal menjana 7,080 peluang pekerjaan dan hampir 300 peluang perniagaan, yang kini menghampiri sasaran pelaburan komited RM14 bilion.

“Saya percaya, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER.

“Saya menghargai usaha penuh ECERDC dalam menerajui inisiatif inisiatif pemulihan ekonomi negara di ECER, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

“Usaha ini telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi di ECER, seterusnya menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya ketika merasmikan Projek Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat hari ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, program pembangunan modal insan dilaksanakan di ECER yang menyasarkan golongan B40, penganggur dan masyarakat Orang Asli telah mencatatkan kejayaan membanggakan.

Ini katanya, menunjukkan keberkesanan program modal insan ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Petronas dan MyKasih Foundation.

“Saya menyokong pelaksanaan program modal insan yang telah memberi peluang pendidikan lebih baik, keusahawanan dan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here