Muhammad Afiq
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) ataupun Jabatan Imigresen (JIM) dikatakan “terlepas pandang” dalam mengeluarkan perintah kuarantin wajib selama 14 hari terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Perkara itu didedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Najib dalam tulisannya itu menggesa supaya kerajaan mendakwa menteri itu di mahkamah bagi “memuaskan hati” masyarakat berhubung isu berkenaan.
“Dakwa menteri perladangan dalam mahkamah. (bukan kerana nak kecam PAS tapi sebab ramai amat tak puas hati perkara ini).
“Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya sebab saya difahamkan KKM atau imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia.
“Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH (Pakatan Harapan) sebab saya dah bosan tengok (Lim) Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama,” tulis Najib di Facebooknya.
Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan maklum balas KKM dan JIM.
Khairuddin mencetuskan kontroversi apabila beliau tidak menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kemudiannya menjadi kecaman warganet di media sosial.
Susulan itu KKM telah bertindak mengenakan denda terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Khairuddin kemudiannya memohon maaf dan mengumumkan untuk mendermakan gaji kepada tabung Covid-19 negara.
Dalam tulisannya itu juga, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan meminta Kit Siang supaya turut mengkritik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang telah melanggar perintah kuarantin.
“Suruh Kit Siang kecam MB Selangor yang mohon maaf sebab langgar kuarantin,” tulisnya lagi.
Amirudin dalam ciapan di Twitternya pada 4 Oktober lalu memohon maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.- Malaysiapost

