Keputusan penutupan sekolah harus melalui KKM, MKN – Menteri

0
1

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lambat membuat keputusan menutup sekolah-sekolah di zon merah berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menurut beliau, sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu. Sejak PKP mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa, guru, murid, PIBG, warga sekolah dan warga KPM secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Dr Mohd Radzi berkata, sebelum keputusan dibuat, pengesahan perlu di lakukan terlebih dahulu daripada KKM untuk mendapatkan penelitian kawasan zon merah.

Tambahnya, perkara itu juga telah disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perutusan khas beliau semalam di mana sebarang keputusan penutupan sekolah harus melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada KKM.

”Bersama-samalah kita bekerjasama rapat dalam menangani cabaran ini. Insya Allah, kami di KPM akan terus komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost