PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekai lagi menegaskan tiada pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam masa terdekat ini.
“Saya rasa tidak ada keperluan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) setakat ini,” katanya ketika ditanya mengenai keperluan mengadakan perbincangan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) mengenai tuntutan jawatan itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke 18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, jawatan menteri kanan yang diberikan kepada wakil dari Bersatu sudah boleh dianggap setara dengan jawatan TPM.
“Menteri-menteri kanan ini saya anggap lebih kepada TPM kerana keistimewaan yang diperoleh hampir sama dengan dengan TPM, sudah ada empat menteri kanan.
“Saya juga telah perjelaskan kepada dua wakil PN iaitu Setiausaha Agung (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan bendaharinya (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sewaktu berjumpa dengan saya.
“Ia boleh dianggap pertemuan rasmi dan tidak rasmi tapi sama ada rasmi atau tidak, mereka nak dengar pandangan daripada saya,” katanya.
Ketika ini, jemaah Kabinet memiliki dua menteri kanan dari Bersatu iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Ismail Sabri sebelum ini menyifatkan perjanjian beliau dengan PN yang dibocorkan baru-baru ini sebagai cerita lama malah menegaskan perjanjian itu bukan cerita baharu.
“Pada hari ini saya selaku PM lebih nak fokus kepada memulihkan ekonomi dan selesaikan isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup yang meningkat, saya rasa itu lebih penting.
“Lihat dari segi komen dalam sosial media, rakyat nak perkara ini (isu rakyat) bukan nak bincang perkara lain, saya kata jumpa atau tidak jumpa itulah jawapannya, jadi terserah. Saya terbuka,” katanya. – Malaysiapost

