Jangan sekat pembangunan kerjaya guru – CUEPACS

0
1
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meneliti isu guru besar gred DG52 yang didakwa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa semula.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya difahamkan perkara itu telah disuarakan oleh kesatuan yang mewakili perkhidmatan perguruan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi tiada sebarang penyelesaian setakat ini.

Beliau menegaskan sistem perjawatan guru itu perlu dikaji semula kerana tidak wajar guru besar dan lain-lain pegawai diarahkan untuk menjadi guru biasa semula hanya kerana mereka dinaikkan ke gred yang lebih tinggi.

“Sistem menetapkan guru besar hanya untuk gred DG48 sahaja tidak lagi boleh digunakan memandangkan sistem kenaikan gred guru ketika ini adalah berdasarkan ‘time based’ menggunakan formula 8:8:6:3,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, dalam setiap profesion kerjaya, menjadi harapan untuk setiap pekerja untuk menikmati pembangunan dalam kerjaya masing-masing.

“CUEPACS tidak melihat langkah menurunkan jawatan sebagai pembangunan kerjaya sekiranya jawatan seseorang guru itu ‘diturunkan’ daripada guru besar kepada guru akademik biasa hanya disebabkan kenaikan gred dalam perkhidmatan.

“Sewajarnya kenaikan gred disusuli dengan tanggungjawab serta peranan yang lebih sesuai bagi mengiktiraf pengalaman dan kemampuan guru tersebut,” katanya.

Beliau berharap KPM dapat menyelesaikan segera isu perjawatan itu bagi memastikan profesion perguruan dilihat sebagai menyokong pembangunan kerjaya guru-guru di Malaysia.

“Perkara ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan kesemua perjawatan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah memandangkan sistem kenaikan gred DG adalah berdasarkan ‘time based’.

“Adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima sekiranya seseorang guru itu terpaksa melepaskan jawatan yang disandang untuk menjadi guru akademik biasa hanya kerana dinaikkan gred,” katanya.

Bagaimanapun, Adnan berkata, perkara ini berbeza sekiranya melibatkan masalah disiplin atau permohonan secara sukarela oleh guru-guru untuk kembali ke sekolah sebagai guru akademik semula.

“Hal ini dianggap sebagai sekatan kepada laluan kerjaya guru dan sewajarnya Kementerian Pendidikan dapat bersama-sama dengan JPA bagi merangka laluan kerjaya yang lebih baik kepada guru-guru,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here