KUMPULAN Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah menyatakan komitmen dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar.
Dalam satu kenyataan KRPPM memaklumkan, komitmen juga diberikan melalui penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan yang berterusan.
KRPPM yang diluluskan penubuhannya oleh Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu, terdiri daripada lapan anggota Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat).
Selain itu, KRPPM juga dianggotai Datuk Seri Azizah Muhd Dun (Bersatu- Beaufort); Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang); Lukanisman Awang Sauni (GPS – Sibuti); Hannah Yeoh (DAP-Segambut); Fuziah Salleh (PKR-Kuantan); Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu); dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat)a.
“Fokus penubuhan KRPPM ini adalah untuk memastikan perubahan sistemik dan legislatif bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di Malaysia, melalui gabungan kolektif ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
KRPPM mensasarkan kebebasan institusi Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada peranan Pendakwa Raya.
“Penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga adalah antara tumpuan KRPPM dalam usaha ini.
“Selain daripada itu, KRPPM mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Dewan Rakyat bagi SPRM dan SPR,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut KRPPM, kumpulan itu juga dianggotai kumpulan masyarakat sivil iaitu Rasuah Busters (Sekretariat), Transparency International Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), PATRIOT dan UNDI 18.
Kumpulan pakar yang menganggotainya pula adalah Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub, Shah Hakim Zain, Anas Zubedy, Maha Balakrishnan, Christopher Leong, Dr Terence Gomez. – Malaysiapost

