Umno tidak akan dikuburkan – Veteran Umno

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad tidak akan berhenti menyerang Umno selagi parti itu belum berjaya ‘dimatikan’ mengikut nafsunya.

Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata, tidak hairanlah kini bekas Perdana Menteri itu menumpukan serangan ke arah Umno seperti mana yang dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak dahulu.

Jelas Mustapha, pemenjaraan Najib selama 12 tahun tidak mematikan semangat ahli Umno, sebaliknya semangat ‘Bossku’ kian menyemarakkan api semangat parti itu untuk terus berjuang.

“Walaupun dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Dr Mahathir berjaya mengalahkan BN (Barisan Nasional) melalui pakatan jahatnya dengan PH (Pakatan Harapan), tapi dia gagal untuk menghancurkan Umno dengan hasrat menggantikannya dengan Bersatu.

“Gerakan Najib melalui semangat ‘Bossku’ telah berjaya memulihkan Umno sehingga mampu memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir kini sedar rakyat mahukan Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dan perkara itu menghantuinya. 

Beliau berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu yang mengetuai Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka akan berterusan menyerang Umno sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai.

“Beria benar Dr Mahathir nak hapuskan Umno dan menghasut ahli Umno dengan mengaitkan kes pemenjaraan Najib.

“Kononnya budaya Umno tidak akan berubah walaupun Najib dipenjarakan. Panjang lebar dia menulis dalam hantaran di Facebokk yang memuji dirinya sebagai Presiden selama 22 tahun dengan menghina Najib dan pimpinan Umno sekarang.

“Beliau menganggap ahli Umno bodoh dan tidak dapat menilai antara kaca dengan intan dan batu dengan permata,” katanya.

Mustapha mendakwa, sebelum ini Dr Mahathir telah menggunakan tipu muslihat untuk kekal berkuasa ketika menjadi Presiden Umno dahulu.

“Beliau menjadi Perdana Menteri bukan kerana dirinya Mahathir. Tapi kerana dia Presiden Umno. Dia berjaya menjadi Presiden kerana dokongan dan sokongan ahli Umno walaupun dia banyak menipu dan membunuh kawan dan lawannya,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir masih belum berputus asa untuk menghapuskan Umno selepas usahanya untuk mendesak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan parti itu gagal

“Walaupun beliau keluar masuk hospital dalam umurnya semakin menua, belum ada tanda-tanda yang beliau telah insaf.

“Dendamnya kepada Zahid yang tidak mahu membubarkan Umno menyebabkan Zahid didakwa dengan 87 kesalahan,” katanya.

Justeru, Mustapha mengingatkan Dr Mahathir bahawa Umno tidak semudah itu untuk dilemahkan, malah semakin kuat setiap kali ujian melanda parti itu dan ahlinya tidak akan merelakan parti itu berkubur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here