PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu terima hakikat bahawa akar umbi Pas masih mahu bekerjasama dengan Umno seperti diputuskan dalam Muktamar Pas baru-baru ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil.
Beliau bagaimanapun turut mengingatkan pemimpin Pas agar terima hakikat yang jika mahu bekerjasama dengan Umno, mereka perlu terlebih dahulu tinggalkan Bersatu.
Menurutnya, ia kerana Umno telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung (PAU) dan MKT yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.
“Penyatuan ummah tidak bermaksud penyatuan dengan pengkhianat. Pada zaman Rasulullah SAW dahulu pun, Islam tidak menyuruh ummat untuk bersatu atau bekerjasama dengan sesiapa sahaja terutama dengan orang-orang munafik atau murtad.
“Pas telah buat pendirian tidak akan tinggalkan PPBM (Bersatu), itu keputusan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas).
“Oleh itu keputusan Pas yang ingin bekerjasama dengan kedua-dua Umno dan PPBM adalah bersifat akademik dan hanyalah angan-angan mereka yang mahu kira untung pada pihak mereka sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang ingin mendapatkan penjelasan daripada Pas dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN), malam ini berhubung keputusan mahu meneruskan kerjasama dengan Umno.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dalam satu sidang media semalam berkata, pimpinan Pas perlu menjelaskan mengenai rundingan parti itu dengan Umno berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sementara itu Isham, turut meminta Pas menjawab mengenai cadangan kerjasama dengan Umno yang disuarakan kepimpinan parti berkenaan.
“Dengan cadangan kerjasama ini, Abdul Hadi atau Tuan Ibrahim sila jawab: berapa kerusi yang Pas ingin dari Umno? dan berapa kerusi pula yang Pas ingin Umno beri kepada PPBM? Dan kerusi-kerusi mana yang kamu ingin Umno serahkan ini?
“Apabila kerusi-kerusi yang Umno beri kepada Pas dan PPBM ini menang dengan sokongan akar umbi Umno, apa jaminan yang kami dapat yang kamu (Pas dan PPBM) akan kekal menyokong kami dan tidak menukar pendirian seperti sebelum ini?
“Akar umbi Umno lebih bijak dan kami tidak akan dibiar ditipu oleh kamu,” katanya yang menegaskan, Pas tidak boleh ‘makan’ keliling dan main ‘dua kolam’.
Menurutnya, Umno tidak akan bekerjasama dengan ‘lalang’ yang tidak berprinsip dan Pas perlu terima hakikat Umno telah buat ketetapan untuk hadapi PRU-15 secara solo. – Malaysiapost

