Mayat tanpa identiti ditemui berhampiran Pulau Rumbia

0
4

SATU mayat tanpa identiti ditemui di laut di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Rumbia, Perak oleh nelayan tempatan pagi kelmarin.

Penemuan jam 7.55 pagi itu dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak yang kemudian menggerakkan bot Maritim Perkasa 1223 ke lokasi bagi mengesahkan maklumat yang diterima.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup, berkata, hasil pemeriksaan dan rondaan di lokasi, satu mayat disyaki lelaki berseluar pendek serta berbaju singlet kuning namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

“Mayat tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, Maritim Negeri Perak belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memohon agar mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga supaya segera tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

“Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti di perairan negara.

“Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here