Tun M sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada Umno – Mohamed Khaled

0
1

TINDAKAN Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan Umno dengan pelbagai gelaran dan penghinaan dilihat hanya bertujuan menutup kegagalannya dalam mewujudkan alternatif kepada Umno.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kenyataan terbaru Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tentang Umno juga menunjukkan beliau terus dihantui parti bekas pimpinannya.

Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Dr Mahathir sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada Umno.

“Eksperimen Tun Mahathir (Tun M) dengan menubuhkan PPBM (Bersatu), sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan lebih Melayu dari Umno nyata gagal.

“Mereka yang beliau percayai dan yakini sebagai tidak korup, berjiwa murni dan bersih, nyata lebih ghairah dengan kuasa dan kedudukan sehingga menolak beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM. Kegagalan tersebut sudah pastilah sangat memalukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri dan dibelakangkan parti yang diasaskannya, Dr Mahathir menubuhkan pula Pejuang yang didakwa lebih baik, lebih bersih dan lebih berkemampuan berbanding dua parti terdahulunya.

“Namun, parti yang diasaskannya itu tersungkur teruk sekali lagi. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sahaja, Pejuang menjadi parti yang bukan sahaja kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan. Tetapi menjadi parti yang kehilangan semua deposit. Sekali lagi, Tun Mahathir malu besar.

“Kemudian, menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Tun M gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA). Tun bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, mungkin selepas menyedari GTA juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Dr Mahathir kembali kepada strategi asalnya menghentam dan menghina Umno.

Beliau berkata, dalam mengkritik dan menghina Umno, bekas Perdana Menteri itu sebenarnya terlepas pandang beberapa perkara.

“Pertama, sekeji mana pun Umno pada kaca matanya, Umno tidak pernah menikam beliau dari belakang.

“Kedua, Tun M adalah negarawan yang bukanlah calang-calang. Beliau adalah tokoh hebat. Namun jika tokoh seperti beliau gagal menjadikan PPBM, Pejuang dan terkini GTA berjaya, maka beliau harus menerima realiti bahawa politik zaman dan cara beliau telah lama berakhir.

“Ketiga, jika dibandingkan dengan seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR jauh lebih berjaya, bertahan dan lebih lestari. Sudah berpuluh-puluh tahun mereka kekal dalam persada politik nasional,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kesimpulannya Dr Mahathir terus menerus mengambil tahu tentang Umno adalah kerana beliau tidak mempunyai pilihan kerana realitinya, orang Melayu masih memilih Umno.

“Umno telah ‘moved on’. Dari masa silam, dari Tun dan dari kegagalan kami sebelum ini. Kami sedang mengorak langkah menjadi ketumbukan yang bersedia meneroka potensi untuk kembali menjadi Kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Sekiranya Tun memilih untuk terus mengambil tahu dan kisah tentang Umno, kami tidak boleh menghalang ingatan dan sentimentalisme Umno yang masih menebal dalam hati Tun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here