HARGA runcit petrol RON97 turun 10 sen iaitu daripada RM4.30 kepada RM4.20 seliter.
Manakala RON95 serta diesel kekal, masing-masing pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter, bagi tempoh bermula esok hingga 14 September ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga siling RON95 dan diesel sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat, melebihi harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara. – Malaysiapost

