Timbalan Pendakwa Raya hilang hormat terhadap peguam Ahmad Zahid

0
2

SUASANA ketika hujahan akhir kes rasuah membabitkan Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, tegang dan beremosi hari ini.

Keadaan itu susulan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran mengatakan beliau hilang hormat terhadap peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik kerana membangkitkan isu remeh dalam hujahan balasnya.

Raja Rozela dengan nada yang agak meninggi berpusing ke belakang dan meminta Hisyam supaya duduk dan tidak mencelah ketika beliau mengemukakan hujahan.

Hisyam sebelum itu cuba mencelah kerana kurang senang dengan kenyataan Raja Rozela yang meremehkan hujahnya.

“Takkan perkara sekecil ini pun nak di bangkitan. Saya hilang hormat kepada beliau,” katanya.

Raja Rozela ketika hujahan tidak dapat menjelaskan pertanyaan mahkamah yang mahu penjelasan lanjut mengenai kredibiliti buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dirujuk oleh pihak pendakwaan sepanjang prosiding.

Antaranya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa meminta hujahan pendakwaan mengenai keredibiliti lejar berkenaan kerana isu catatan yang tidak konsisten.

“Mahkamah minta hujahan ni bukan saja saja, kita nak buat keputusan…dalam isu lejar, ada banyak kolum tapi tiada remarks. Ada kod nama Z dan lagi..yang didakwa sebagai tertuduh yang menerima duit, tapi Z ni ada di kolum C, bermaksud from iaitu daripada…jadi ini perlu jelas ni,” katanya.

Permintaan mahkamah itu juga berhubungkait dengan hujahan penerimaan wang tunai yang didakwa diterima Ahmad Zahid dan menunjukkan saksi pendakwaan bercanggah.

Dalam hujahan sebelum itu, Hisyam berhujah bahawa keterangan saksi ke-15 dan ke-17 bercanggah.

Menurutnya, saksi ke-17 David Tan Siong Sun memberi keterangan bahawa beliau menyerahkan tunai kepada Harry Lee dan ia dihantar kepada Ahmad Zahid di dalam beg di Country Heights, manakala Harry Lee menyatakan bahawa ia diserahkan di dalam sampul di Seri Satria.

Hujahnya, terdapat juga jawapan daripada Harry Lee yang menyatakan bahawa beliau tidak pasti mengenai penerimaan tunai daripada David Tan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here