Muktamar Pas 2022: 10 sebab Pas tidak wajar menjadi parti pilihan pengundi PRU-15

0
3

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri

MUKTAMAR Pas 2022 baru saja berakhir dengan pelbagai kontroversi. Umno yang diketepikan, tiba-tiba menarik dihati Pas. Hatta isu jemputan dan kehadiran Umno pun menjadi polemik di Muktamar.

Namun berdasarkan perkembangan terkini Pas, khususnya pasca Muktamar kali ini, saya senaraikan 10 sebab Pas tidak akan menjadi pilihan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti;

Sebab 1: Belakangkan prinsip kebersamaan.

Muktamar kali ini telah menunjukkan wajah sebenar Pas sebagai sebuah parti yang gemar membelakangkan prinsip-prinsip kebersamaan dalam perjuangan dan memungkiri janji kepada rakan serta akar umbinya sendiri.

Sebab 2: Talam dua muka, sindrom ‘gila talak’.

Sebelum ini, Pas jelas telah membelakangkan Muafakat Nasional (MN) apabila memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Setelah kalah teruk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, tiba-tiba Pas seolah-olah telah hilang keyakinan terhadap PN.

Kemudian, melalui Muktamar kali ini, Pas umpama ‘gila talak’ cuba memujuk Umno untuk berunding dan kembali bekerjasama kononnya di atas nama MN. Tidakkah Pas sedar bahawa pihaknya kini pula sedang cuba khianati PN? Apakah sebenarnya yang Pas mahukan dalam perjuangannya sendiri?

Sebab 3: Flip-flop, tidak berprinsip.

Malah, Ketua Pemuda Pas pada Ogos lalu lantang menggesa agar para penyokong Pakatan Harapan (PH) mengundi Pas pada PRU-15 bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tewas di Pahang. Tapi pada bulan ini, beliau mahu rundingkan kerjasama dengan Umno/BN? Ahli politik jenis apakah ini?

Sebab 4: Lalang dan Machiavelli.

Pendekatan PAS membelakangkan MN dan kini PN ini membuktikan parti PAS ibarat ‘lalang’. Hanya memikirkan untung politik Pas walau tidak berprinsip. Apakah Pas kini senada dengan pendekatan politik Machiavelli.

Sebab 5: Berkawan, tapi tendang kawan.

Menurut Pas, mereka mahu bersahabat dan menyatukan ummah. Tetapi tindakan Pas telah membuktikan Pas suka bertindak secara unilateral dengan membelakangkan sahabat perjuangannya. Apabila dapat kuasa dan jawatan, sahabat perjuangan habis ditendang.
Sebab 6: Dengan PN pun belum selesai, tapi dah minta runding kerusi dari Umno.

Muktamar kali ini juga, Pas menyatakan mahu bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU-15. Malah, mahu ‘berangan’ mahu rundingkan pula 27 kerusi berisiko dengan Umno.

Persoalannya, adakah Bersatu mahu berikan 80 buah kerusi kepada Pas? Di saat ketentuan jumlah bilangan kerusi pun masih menjadi pertikaian di dalam parti Pas sendiri malah di kalangan parti komponen PN, inikan pula, mahu meminta 27 kerusi daripada Umno? Ketamakkan jenis apakah ini?

Sebab 7: Tak tahu ukur baju badan sendiri.

Ketika PRU-14, Pas telah bertanding di 158 kerusi Parlimen, namun hanya mampu menang 18 kerusi sahaja. Saranan saya,agar Pas tahu mengukur baju di badan sendiri, atau Pas mungkin mempunyai agenda yang tersendiri?

Sebab 8: Beza Eksekutif dan Institusi Politik pun tak tahu?

Pas telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berkaitan jemputan ke Muktamar PAS 2022. Pas sebenarnya telah menjemput Exco Kerajaan Negeri Kedah, tetapi memberitahu media bahawa Pas menjemput Umno Kedah, namun tiada yang hadir. Adakah Pas tidak tahu membezakan antara badan eksekutif dengan institusi politik?

Sebab 9: Prestasi menteri Pas hambar.

Pencapaian Pas dalam menerajui kementerian tidak menunjukkan prestasi yang baik dan seringkali mengundang persepsi buruk rakyat. Misalnya kementerian yang diterajui seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) dan lihat tahap industri bekalan air di negeri kendalian Pas, Kelantan.

Sebab 10: Kelirukan ahli sendiri, kaburkan rakyat.

Kenyataan Pas yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa bukan hanya menjejaskan prinsip kebersamaan bersama sahabat-sahabat perjuangan malah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap parti Islam ini.

Malah saya rasa menjejaskan dan mengelirukan akar umbi sendiri terhadap pucuk kepimpinan. Saya percaya, rakyat sendiri boleh menilai Pas adalah parti yang gemar memungkiri janji dan seharusnya tidak menjadi pilihan ketika PRU-15 nanti.

Harap-harap Pas sedar diri dan maklum pada hati kecil sendiri. Yang benar itu pahit, namun harus ditelan jua.

Penulis adalah Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Malaysia

(Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here