‘Trauma mangsa lebih besar daripada aib’ – Young Syefura

0
2
young syefura

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad lebih peka dan sensitif dalam mengeluarkan kenyataan membabitkan jenayah seksual.

Beliau berkata, kenyataan Idris berhubung pelakon remaja berusia 15 tahun yang dipercayai mangsa cabul bapa kandung adalah tidak wajar dan bukan sepatutnya dikeluarkan oleh pemimpin berstatus menteri.

“Beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang memberikan sokongan moral kepada pelakon itu yang ternyata mengalami trauma daripada episod gangguan dan penderaan yang dihadapi beliau sewaktu kanak-kanak.

“Trauma beliau adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan aib. Ini adalah kerana trauma yang dihadapi beliau akan terus kekal selamanya di dalam diri beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Young Syefura berkata komen Idris lebih menjurus kepada menyalahkan mangsa daripada ingin membantu mangsa.

Tegasnya, pendedahan pelakon remaja itu seharusnya dipandang serius bukannya menggunakan alasan aib untuk menutup hakikat sesuatu jenayah.

“Sikap manusia seperti Idris adalah salah satu punca mengapa mangsa penderaan dan gangguan seksual tidak mahu tampil melaporkan jenayah ini ke pihak berkuasa.

“Sudahlah mereka menjadi mangsa, hidup dengan trauma, masyarakat pula menghukum mereka. Mengaitkan aib dalam hal ini adalah seperti menafikan hak-hak mangsa untuk melindungi diri mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) segera mengambil tindakan proaktif berkaitan pendedahan mangsa tersebut.

Tambah beliau, KPWKM perlu terus menerus mendidik masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja mengenai penderaan serta jenayah seksual agar mereka faham jika bersuara bukan bermaksud menganiaya si pelaku.

“Stigma masyarakat perlu diperbetulkan terhadap mangsa. Saya berharap agar masyarakat berhenti memandang serong dan membuat kenyataan negatif terhadap mana-mana mangsa penderaan dan jenayah seksual. Mangsa adalah golongan yang tidak bersalah dan dianiaya.

“Seharusnya kita semua berasa empati dan memberikan sokongan moral kepada mangsa untuk menghadapi trauma, bukan meletakkan beban kesalahan dan menafikan trauma yang dihadapi mereka,” katanya.

Terdahulu, pelakon berusia 15 tahun menjadi tetamu jemputan dalam satu program ‘broadcast’ di YouTube bagi berkongsi mengenai kisah hidupnya, baru-baru ini.

Pelakon terbabit mendedahkan sikap buruk bapanya selain memperlakukan ibunya dengan teruk.

Semalam, Idris dilaporkan berkata pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapa sepatutnya melaporkan segera kejadian itu kepada polis dan bukan membuka aib mendedahkannya kepada orang ramai.

Katanya, laporan polis membolehkan pelakon itu mendapat pembelaan undang-undang dan melindunginya daripada sebarang ancaman pada masa akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here