Ketua Penerangan Umno pulih Covid-19, dibenarkan pulang hari ini

0
2

SELEPAS dua minggu dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana positif Covid-19, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan dibenarkan pulang hari ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi, sambil melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit.

“Alhamdulillah, selamat dan dibenarkan pulang dari hospital. Jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan terutama di Hospital Sungai Buloh.

“Juga, terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan selamat,” katanya.

Beliau seterusnya memaklumkan tidak sabar untuk menghabiskan masa bersama keluarga terutama anaknya yang berumur dua tahun.

Pada 23 September lalu, Shahril mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas membuat ujian saringan di Kuala Lumpur, sebaik pulang dari Sabah.

Beliau berada di Sabah beberapa hari bagi membantu menyertai jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN). – Malaysiapost