GTA hantar permohonan rasmi pada RoS, pilih obor jadi logo

0
2

GERAKAN Tanah Air (GTA) telah pun menghantar permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi membolehkan gabungan itu dapat menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. 

Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata, GTA yang menggabungkan empat parti politik bakal menggunakan logo obor.

Beliau berkata, GTA berharap RoS dapat memberi kelulusan segera bagi membolehkan gabungan itu bersiap sedia dalam PRU15.

“Kalau bertanding nanti, lambang inilah yang kita pakai. Itu tujuan kita mohon untuk pendaftaran ini, kalau tak boleh sahaja kita bertanding secara bersendirian tetapi kira rasa lebih afdal untuk mengelakkan pertembungan antara keempat-empat parti,” katanya. 

Beliau ditemui media selepas mengemukakan permohonan GTA di pejabat RoS, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak dan Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mukhriz melihat tiada sebab permohonan GTA kepada RoS itu tidak diluluskan.

Menurutnya, kesemua empat parti yang menganggotai gerakan itu juga telah mempunyai pengalaman mendaftarkan parti masing-masing.

“Saya rasa tak ada sebab permohonan kami ditolak, malah syor kita dapat daripada RoS tadi adalah sifat nak meluluskan itu ada, cuma nak mengelak daripada perkara yang menimbulkan masalah.

“Kami semua dah ada pengalaman mendaftarkan parti, masing-masing pun daripada parti yang sudah mendaftar, bukan benda baharu.

“Cuma kali ini nak menggabungkan empat parti, jadi patutnya lebih mudah. Itu yang kita harapkan dapat diperolehi daripada RoS,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here