JPJ Pahang kutip lebih RM700,000 lelong kenderaan sita

0
2

Ben Ibrahim

SEJUMLAH RM709,500 berjaya dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang hasil lelongan 60 kenderaan sita yang diadakan hari ini.

Lelongan awam siri kedua tahun ini diadakan di Dewan Utama JPJ Pahang, dekat Indera Mahkota bermula jam 9 pagi tadi.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 34 kereta, sembilan kenderaan pelbagai guna (MPV), lapan motosikal dan selebihnya pelbagai jenis kenderaan dibuka untuk bidaan oleh orang awam.

“Seramai 107 pembida mengambil bahagian dalam lelongan siri dua itu dan kereta Mercedes SLM200 merekodkan bidaan tertinggi apabila ditawarkan pada RM42,000.

“Lelongan terendah bernilai RM50 diterima daripada pembida untuk motosikal jenis Moskito 125RX iaitu kenderaan yang tidak boleh dilesenkan,” katanya.

Siri lelongan awam itu berakhir jam 2 petang tadi.

Kamarul berkata, semua kenderaan dilelong itu adalah kenderaan yang sudah dilucutkan hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, proses lelongan awam dilakukan adalah sangat telus dan memuaskan hati semua pihak termasuk pembida kerana mengikut tatacara seperti ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here